Saturday 21 September 2013

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-56




kemerdekaan malaysia

Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni.  
Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.
Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 berjaya mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan.
Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.

Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya  dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.
Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.


Kedudukan Majlis Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang lebih baik yang antara lain berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Residen diganti oleh seorang Menteri Besar. Sementara syarat-syarat kerakyatan diperketatkan melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara permohonan.

Selangkah orang Melayu terus mara dengan kesatuan yang bulat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dipimpin oleh ramai tokoh yang terbilang seperti Datuk Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Ghaffar Baba, Dr. Ismail, Aziz Ishak, Sardon Jubir dan sebagainya untuk menyusuri jalan kemerdekaan. Pelantikan Tunku Abdul Rahman Putra menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951 nyata membuka lembaran baru dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Ternyata perjuangan berabad lamanya orang Melayu bermula sejak kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bersama sultan atau pemimpin tempatan sentiasa cuba mengembalikan maruah bangsa dan negara. Perjuangan mereka dimulai secara perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511) dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut (1914), Haji Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif Mashahor (1860), Rentap (1853) dan sebagainya. 

Bentuk perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar awal 1900 mula digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung Semanggol,  begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya dari Sultan Idris Training College. 

Selepas itu, bentuk perjuangan berubah menggunakan tinta dan mata pena. Mereka daripada kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan Melayu khususnya daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi hingga sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan dipenjarakan. Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia telah banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.







ke arah kemerdekaan

Ketika arus kesedaran mengenai kemerdekaan kuat bergelora, Inggeris bimbang sekiranya orang Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada parti berhaluan kiri seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM). Oleh itu, apabila Parti Perikatan, UMNO dan MCA begitu kuat mendesak mengadakan pilihanraya, Inggeris akhirnya tunduk menunaikan tuntutan dan tekanan mereka.

Pilihanraya Persekutuan pertama pada 27 Julai 1955 telah diadakan. Beberapa parti seperti UMNO, MCA, MIC, Parti Negara, PAS, Parti Buruh telah ikut serta dalam merebut 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Bagi menunjukkan komitmen ke arah kemerdekaan sejagat, UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA (yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949) dan MIC (ditubuhkan pada  Ogos 1946) membentuk Parti Perikatan untuk menghadapi pilihanraya tersebut.
Hasilnya mereka berjaya menguasai 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Ia menjadi asas kepada persefahaman untuk memenuhi tuntutan Inggeris bahawa kemerdekaan boleh dicapai dengan adanya kerjasama dan saling bertolak ansur antara kaum di Tanah Melayu. Manifestasi Perikatan ialah menjanjikan kemerdekaan dalam masa empat tahun.

Pada 1Ogos 1955, Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet pertama yang dianggotai oleh 6 wakil Melayu, 3 wakil Cina dan 2 wakil India. Tunku  Abdul Rahman selaku Ketua Menteri dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri. Antara barisan ahli yang lain ialah Datuk Abdul Razak Hussain, Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman, En. H.S. Lee, En. Abd. Aziz Ishak, En. Baba Leong Yew Koh, En. Sardon Haji Jubir, Tun V.T. Sambathan, En. Sulaiman Datuk Abd. Rahman dan En. Bba Ong Yok Lin. Mereka   mengangkat sumpah jawatan pada 9 Ogos 1955.

Selain memenuhi syarat persefahaman antara kaum, Tunku Abdul Rahman dicabar supaya menyelesaikan isu pemberontakan komunis untuk mendapatkan kemerdekaan. Inggeris berjanji selagi ancaman komunis tidak ditangani, kemerdekaan mungkin lewat diberikan. Bagi menyahut cabaran tersebut, Tunku memilih cara diplomasi dengan mengadakan Rundingan Baling pada 28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Melaya (PKM). Tindakan tersebut telah mencemaskan Inggeris yang selama ini berhadapan dengan PKM secara kekerasan.

Kebimbangan Inggeris memberikan kesan mempercepatkan lagi proses pemberian kemerdekaan. Ia memperlihatkan kebijaksanaan siasah Tunku Abdul Rahman. Sementara di pihak PKM, mereka menolak dengan angkuh permintaan Tunku untuk membubarkan partinya malah terus memilih untuk meneruskan penentangan bersenjata yang ternyata telah banyak membawa kesengsaraan khususnya kepada penduduk luar Bandar dan menggugat keselamatan dan ekonomi negara.
Pada 18 Januari - 6 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. 

Rombongan tersebut turut disertai oleh beberapa pemimpin Parti Perikatan; Dato' Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsudin dan wakil Raja-Raja Melayu; Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd. Seth. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian Merdeka telah dimetrai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sekembali dari London, Tunku Abdul Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 dan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh rakyat.

Selaras dengan persediaan menyambut kelahiran sebuah negara yang baru merdeka, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah dibentuk pada 21 Mac 1956 untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur lantas bendera Persekutuan Tanah Melayu mengambl alih dan terus berkibar megah. 

Pada keesokan harinya, gema merdeka sebanyak tujuh kali memenuhi segenap pelosok Stadium Merdeka, Kuala Lumpur apabila upacara pengisytiharan kemerdekaan dibuat oleh Tunku Abdul Rahman. Hasil perjuangan seluruh orang Melayu dan gabungan beberapa kaum lain, akhirnya pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu berjaya merungkai rantai penjajahan yang sekian lama membelenggu peribuminya.




Rentetan peristiwa pengisytiharaan tarikh merdeka

01 januari 1956
Rombongan Rundingan Kemerdekaan
Dari kiri: Datuk Ahmad Kamil, Datuk Dr Ismail, Datuk Hj Abdul Wahab, YTM Tunku Abdul Rahman, Dato'                 Mohammad Seth, Kolonel Sir H.S. Lee, Dato' Abdul Aziz Majid dan Datuk Abdul Razak

Barisan belakang: T.H. (Setiausaha Wakil Perikatan) dan Abdul Kadis Shamsuddin (Setiausaha Wakil                                  Raja-raja

rentetan2

01 januari 1956

Rombongan kemerdekaan bertolak ke Karachi, Pakistan menaiki kapal laut bernama M.V. Asia.


rentetan3

01 januari 1956

Seramai 10,000 orang yang sebilangan besar terdiri daripada ahli-ahli UMNO telah menghantar Rombongan Kemerdekaan di Pelabuhan Tanjung Pagar, Singapura.


rentetan5

Keratan Akhbar Utusan Melayu, Rombongan Kemerdekaan yang diketuai oleh YTM Tunku sedang berbincang di Lancaster House.


rentetan6


08 januari 1956

YTM Tunku dan Lennox Boyd (Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris) menandatangani Perjanjian Merdeka di London.


rentetan7


20 februari 1956 (11.00 pagi)

YTM Tunku yang mengetuai Rombongan Kemerdekaan tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka dengan Melayan Airways.



rentetan11


20 februari 1956 

Rombongan Kemerdekaan tiba di Padang Bandar Hilir, Melaka.


rentetan12

20 februari 1956

Orang ramai melaungkan 'Merdeka' setibanya Rombongan Kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.



rentetan14


20 februari 1956 

YTM Tunku menjulang keris yang dihadiahkan oleh kaum ibu UMNO Melaka yang diwakili oleh Puan Zainab binti Samdin.




  1. rentetan16

20 februari 1956 

Orang ramai mendenagr ucapan YTM Tunku di Padang Bandar Hilir, Melaka.


rentetan19


20 februari 1956

YTM Tunku Abdul Rahman membaca Watikah Pengisytiharaan Tarikh Kemerdekaan yang disusun oleh En Senu Abdul Rahman, Tn. Syed Nasir Ismail dan ditulis oleh En. Ibrahim Mahmood (Pengarang Akhbar Merdeka)


rentetan20


20 februari 1956

Dr. Ismail (kiri) dan Dato' Abdul Razak (kanan) turut menandatangani pengisytiharaan tarikh kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.

rentetan22


20 februari 1956

YTM Tunku Abdul Rahman melaungkan 'MERDEKA'


rentetan24


20 februari 1956

Rombongan Kemerdekaan berarak keluar selepas mengumumkan tarikh Kemerdekaan di Padang Bandar HIlir, Melaka



Di ambang kemerdekaan

peristiwa malam kemerdekaan.

Menjelang malam 30 Ogos, kelihatan jalan-jalan sekitar Bandar Kuala Lumpur dipenuhi dengan kenderaan-kenderaan awam yang membawa bendera Persekutuan Tanah Melayu. Batu Road umpamanya, sesak dengan kereta, bas, beca, basikal serta pejalan-pejalan kaki. Tua dan muda bersama-sama melangkah berpusu-pusu menuju ke Padang Kelab Selangor. Suasana malam penuh meriah diterangi lampu-Iampu hiasan di jalan-jalan dan bangunan sekeliling. Banyak kedai-kedai di sepanjang Batu Road dibuka sehingga larut malam. 

Sebuah pentas khas didirikan di padang itu dengan dihiasi dengan lampu yang berwama-warni sebagaimana juga di keliling padang. Di tengah-tengah padang terdapat tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera UMNO di sebelah kanan, bendera Union Jack di tengah dan bendera Perikatan di sebelah kiri. Manakala berpuluh-puluh ribu rakyat jelata dari berbagai bangsa berkumpul di sekeliling padang sehingga ke jalan raya. Turut hadir pada malam itu ialah perwakilan-perwakilan rasmi, pemberita-pemberita dan jurugambar dari dalam dan luar negara serta Ketua-Ketua Parti Perikatan dari seluruh negeri. 

rentetan peristiwa/acara


10.00 malam 
Di padang, wakil ahli-ahli Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC dari Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Singapura (12 delegasi) mengambil tempat di sekeliling 3 bahagian padang. Barisan hadapan memegang tali dan dengan jarak 6 kaki, seramai 2000 ahli-ahli Pemuda UMNO memegang satu lagi tali.

10.30 malam 
300 Pemuda Perikatan membentuk perbarisan kehormatan mengambil tempat di tengah-tengah padang mengadap Jalan Raja (menara jam). Perbarisan ini diketuai oleh En. Ismail Bontak.

11.55 malam 
YTM Tunku Abdul Rahman diiringi 30 ahli-ahli Perikatan bermotorsikal (15 UMNO, 10 MCA, 5 MIC) dan 2 polis pengiring bermotorsikal (outriders) tiba di Jalan Raja. Perarakan bermotorsikal ini bermula dari rumah kediaman rasmi YTM Tunku Abdul Rahman. 

Apabila tiba, YTM Tunku telah disambut oleh Dato' Abdul Razak bin Hussein, Encik Saadon Zubir (Ketua Pemuda UMNO), Dato' Sir Tan Cheng Lock (Yang Dipertua MCA) dan V. T. Sambantan (Yang Dipertua MIC). Tunku kemudiannya dibawa ke atas pentas menghadap ke tiga-tiga tiang bendera.

11.58 malam 
Semua lampu di padang dan disekelilingnya dipadamkan sehingga seluruh kawasan menjadi gelap gelita. 

12.00 malam
Lampu dipasang semula apabila jam besar berbunyi menandakan detik 12 malam tiba. Ini diikuti dengan laungan 'Merdeka' oleh orang ramai yang menggegarkan seluruh padang. [secara spontan]

Sepasukan 12 orang Pemuda dan Pemudi Perikatan yang terdiri dari 6 pemuda dan 6 pemudi (6 UMNO, 4 MCA, 2 MIC) tampil ke hadapan membawa 2 buah dulang. Satu dulang untuk diisi bendera Union Jack yang diturunkan dan sebuah dulang lagi berisi bendera Persekutuan Tanah Melayu. Dulang yang berisi bendera Persekutuan Tanah Melayu dibawa oleh Cik Dasimah Ibrahim yang diikuti oleh Encik Tahir Abdul Majid serta Cikgu Abdul Wahab.

Bendera Union Jack mula diturunkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan diringi lagu God Save The Queen yang dimainkan buat kali terakhir sebagai tanda berakhimya pentadbiran British di Tanah Melayu. Penurunan bendera Union Jack disambut dengan tepukan yang bergemuruh dan laungan 'Merdeka' yang menggegarkan seluruh padang. [secara spontan]

Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan diiringi lagu kebangsaan Negaraku yang diperdengarkan buat pertama kalinya kepada umum pada malam bersejarah itu. Setelah bendera Persekutuan Tanah Melayu sampai ke puncak tiang, sorakan 'Merdeka' telah dilaungkan sebanyak tujuh kali. Tunku Abdul Rahman memberikan tabik hormat semasa bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan.

12.10 malam
Tunku Abdul Rahman menerima tabik hormat dari Barisan Kehormatan Pemuda UMNO, MCA dan MIC dan memeriksa perbarisan dengan diiringi oleh Encik Sardon Zubir. Kemudian Tunku mengelilingi padang dan memeriksa 12 kumpulan rombongan-rombongan UMNO, MCA dan MIC dari negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.

Tunku Abdul Rahman mengambil tempat di atas pentas. Pasukan Pemuda Perikatan seramai 24 orang yang diketuai oleh Encik Abdul Majid Othman tampil membawa dulang yang berisi rantai emas yang tergantung padanya sebuah Pingat Emas yang berukir peta Semenanjung Tanah Melayu serta gambar Tunku di dalam peta itu. Di tepi bulatan peta itu, ditulis perkataan Bapa Kemerdekaan Tanah Air, iaitu gelaran yang diberikan oleh UMNO kepada Tunku.

Kalung emas dikalungkan ke leher Tunku oleh Encik Sardon Zubir diikuti dengan pekikan "Bapa Kemerdekaan Tanah Air" sebanyak tiga kali.

12.25 malam
Tunku Abdul Rahman berucap.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Tuan Haji Massood Hayati.

1.10 malam
Barisan Kehormatan berkawat di hadapan pentas untuk memberi tabik hormat kepada Tunku Abdul Rahman.

1.25 malam
Tunku Abdul Rahman meninggalkan pentas.

1.30 malam
Acara tamat.


penubuhan malaysia

Tunku Abdul Rahman dalam satu ucapan beliau di depan Persatuan Wartawan Asing di sebuah hotel di Singapura pada 27 Mei 1961, menggagaskan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei Sarawak, dan Sabah. Antara lain, ia bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis, mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepat proses kemerdekaan terhadap Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah. Singapura menyambut baik idea tersebut manakala Brunei enggan menyertainya. Manakala Sarawak dan Sabah yang mulanya menolak cadangan tersebut akhirnya telah bersetuju apabila diberi jaminan mengenai pemerintahan sendiri.

Untuk memberikan kebebasan dan keadilan kepada semua pihak, pada 17 Januari 1962 sebuah suruhanjaya yang akan meninjau pandangan penduduk negeri-negeri tersebut telah diumumkan dan dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya itu dianggotai oleh 5 orang ahli, dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali Shafie. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Sepanjang Februari-April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada parti-pati politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Secara keseluruhan, lebih lapan puluh peratus bersetuju dengan gagasan tersebut dan pada 21 Jun 1962, laporan tersebut telah diserahkan kepada kerajaan British.


Kata sepakat telah dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut berlangsung selama 2 minggu. Pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Kerajaan British telah diwakili oleh Perdana Menteri Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord Landsdowne. 




Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun. Sabah pula telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A. Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W.S. Holley dan Encik G.D. Sundang. Wakil-wakil dari negeri Sarawak pula terdiri daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Datuk Abang Haji Openg. Sementara Singapura telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng Swee. Kedua-dua negara bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada 12hb Julai 1963 iaitu Kerajaan British bersetuju menyerahkan kedaulatan Sabah, Sarawak dan Singapura kepada Kerajaan Malaysia dan Malaysia akan wujud pada 31hb Ogos, 1963.

Ketika ura-ura pembentukan Malaysia menjadi kenyataan, Filipina dan Indonesia menentang keras gagasan tersebut. Filipina mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada wilayahnya manakala Indonesia yang mempunyai perancangan mewujudkan Indonesia Raya telah cuba menggagalkan usaha tersebut dengan lebih keras lagi dengan mengisytiharkan Konfrantasi pada 20 Januari 1963 dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’. Tentera Indonesia dihantar menyusup sempadan Malaysia terutama di Sabah dan Sarawak serta Johor.  

Cabaran getir yang dihadapi ini tidak mematahkan semangat pemimpin dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah untuk melihat satu negara bersatu. Walaupun perancangan sebenar pengisytiharan akan dibuat pada 31 Ogos 1963, majlis tersebut terpaksa ditangguhkan. Lawrance Michelmore selaku wakil Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengadakan tinjuan pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak. Pada 14 September 1963, laporan telah dikeluarkan yang mengesahkan majoroti penduduk negeri tersebut menyokong penyertaaan dalam Persekutuan Tanah Melayu. Justeru, pada 16 September 1963, gagasan tersebut telah menjadi kenyataan dan lahirlah sebuah kesatuan yang dikenali sebagai Malaysia. 

Pengisytiharan tersebut dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Upacara membaca deklarasi penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan Yang Di Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, dan Sabah. Turut serta dalam upacara itu ialah tiga orang pemimpin dari tiga buah negeri yang baru di dalam Persekutuan Malaysia iaitu En. Lee Kuan Yew, En. Donald Stephens dan En. Stephen Kalong Ningkan. Bagaimanapun, penyertaan Singapura hanya mampu bertahan selama dua tahun apabila terpaksa berpisah pada 1965.


erti kemerdekaan

Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara. 

Menyorot kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511 hingga ke Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3 peringkat perjuangan. Peringkat pertama, secara militan atau gerila, perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan kemudian golongan nasionalisma yang berjuang melalui mata pena. Ketiga-tiga kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada cadangan untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan teratur. Terbentuknya UMNO semasa persidangan tersebut telah memantapkan lagi perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara. 

Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan. Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh. 

Bumi bertuah ini telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber ketika negara bergelut dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, taraf pendidikan yang rendah, perpaduan kaum bahkan ancaman komunis ketika Darurat yang diisytiharkan sejak 1948 lagi. Dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, rancangan mempertingkatkan penguasaan ekonomi penduduk bumiputera dan jurang perbezaaan antara kaum dapat diharmonikan. Dasar pendidikan bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan diri rakyat daripada belenggu kejahilan kepada masyarakat moden. 

Beberapa dasar negara telah diperkenalkan seperti Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju. Kemerdekaan menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas menyusun hala tuju sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan, budaya dan agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan kemahuan kita untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.

Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden.



56 tahun kemerdekaan

Setelah 56 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia membangun dengan penuh bergaya. Pembangunan yang dicapai begitu pantas dan dinamik. Kekukuhan ekonomi dan perpaduan kaum menjadi kunci kepada keutuhan kemerdakaan yang telah dilalui. Rakyat menikmati agihan kestabilan politik, kemewahan ekonomi dan keadilan sosial yang sama dan seimbang. Pendidikan terus memacu rakyat untuk menjadi bangsa yang moden, beradab dan dihormati. Malaysia harum di pentas dunia sebagai sebuah negara membangun yang maju dan stabil.

Beberapa mercu tanda seperti projek pengeluaran kereta nasional pertama Proton Saga yang merintis industri permotoran negara, pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur yang pernah diiktiraf sebagai di Menara Tertinggi Di Dunia, pembinaan Litar Antarabangsa Sepang yang berjaya menaikkan imej negara khususnya dalam penganjuran sukan lumba kereta Formula One selain mengangkat nama Petronas dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang permotoran dan pelbagai lagi mercu tanda dan kejayaan yang dicapai menjadi produk kebanggaan rakyat Malaysia.

Persediaan menghadapi badai langit terbuka telah dilakukan dengan penubuhan Koridor Raya MultiMedia (Multimedia Super Corridor) agar setanding dengan Lembah Silikon di Amerika Syarikat. Pencapaian rakyat Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila sekumpulan pendaki berjaya menawan puncak Everest pada 15 Mei 1997, berenang merentasi selat Inggeris pada 3 Ogos 2003, ekspedisi penerjunan di kutub utara pada 2003 dan ekspedisi solo menawan benua Anrtartika pada 2004. Pada 10 Oktober 2007, angkasawan Malaysia yang pertama telah dihantar ke Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Suara Malaysia didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Keamanan yang dicapai oleh negara dipohon oleh PBB untuk membawa misi tersebut di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste (2006). Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembeling bersama untuk menjadi Malaysia benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang. Kini segala usaha yang digarap oleh seluruh lapisan rakyat menjadi hadiah yang amat berharga untuk sambutan 56 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Menghadapi alaf baru yang penuh cabaran, rakyat Malaysia seharusnya lebih berwaspada. Biarpun suatu ketika dahulu, rakyat digembar-gemburkan dengan penjajahan bentuk baru melalui pengaruh pemikiran, ekonomi, sosial, adat dan budaya, ternyata, kini, penjajahan ke atas negara lemah dan mundur yang suatu ketika dahulu telah lama ditinggalkan oleh manusia bertamadun, kini kembali semula dalam bentuk dan alasan baru. 

Kita juga dikepung oleh ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era globalisasi yang menuntut lebih pengorbanan dan tanggungjawab daripada rakyat untuk terus mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan kepada seluruh rakyat menuntut kita supaya lebih peka dengan persekitaran yang berlaku. Justeru, konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan akan menjadi wadah untuk rakyat membangunkan negara dengan penuh keimanan kepada tuhan, berilmu, kehidupan yang harmoni, agihan kekayaan yang adil, bertamadun dan beretika.


tokoh pejuang kemerdekaan



TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ

Ibarat kata pepatah Melayu ”Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Begitulah 
ungkapan yang paling bererti untuk mengenang jasa dan sumbangan negarawan ulung Tunku Abdul Rahman Putra. 
Sepanjang hayatnya, Tunku telah menunjukkan kehebatan sebagai pemimpin yang berwibawa dalam pelbagai 
bidang, seorang pejuang yang berjiwa kental dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi untuk membebaskan 
negara dari cengkaman penjajah. Penglibatan menentang Malayan Union, mengemudi kepimpinan UMNO melalui 
perubahan slogan dari Hidup Melayu kepada Merdeka, mengatur strategi pakatan antara kaum dengan kerjasama 
pihak Majlis Raja-Raja Melayu telah membuktikan kepimpinan Tunku sehingga berjaya mencapai kemerdekaan 
secara aman melalui meja rundingan. Liku, cabaran, perit jerih terbayar dek nikmat kemerdekaan yang diwarisi 
sehingga kini dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu merasa terhutang budi kepada Tunku - Bapa Kemerdekaan.





TUN V.T. SAMBANTHAN

Tun V.T. Sambanthan merupakan seorang pejuang daripada masyarakat India yang dilahirkan pada 16 Jun 1919 di 
kawasan pedalaman di Sungai Siput, Perak. Kepimpinan beliau terserlah apabila dilantik menjadi Presiden Kongres 
India Malaya ketika berusia 36 tahun. Kemudian Tun V.T. Sambanthan dilantik menjadi menteri penuh dalam 
pelbagai kementerian. Sepanjang tempoh menjadi menteri kabinet begitu banyak jasa yang telah dicurahkan oleh 
Tun V.T. Sambanthan terutama berkaitan dengan perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan dari segi kemudahan 
kepada rakyat serta semangat patriotisme pada masa itu.



DATU MAT SALLEH

Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi 
tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang 
pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897. Dalam masa 
pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menemui ajalnya pada 
31 Januari 1900. Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat 
tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.



TOK JANGGUT

Haji Mohd Hassan bin Panglima Mat Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut kerana memelihara janggut 
sampai ke paras dada adalah seorang pahlawan Melayu yang terkenal di Kelantan. Dilahirkan pada 1853, beliau 
ialah seorang penentang penjajahan British semasa menentang pengenaan cukai oleh pihak British di Kelantan. 
Beliau juga merupakan tokoh agama Islam yang berjaya menarik sokongan banyak pengikut di Kelantan.



MAT KILAU

Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di 
Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Mat Kilau amat mahir di dalam ilmu kebatinan, persilatan dan 
bermain senjata. Beliau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan 
beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati oleh penduduk negeri Pahang. Segala cabaran yang 
berjaya dilalui oleh Mat Kilau semasa menentang pihak British membuatkan pelbagai pihak menyanjung tinggi 
kepahlawanan beliau.



DATO' MAHARAJA LELA PANDAK LAM

Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam ialah seorang pembesar kelapan Perak yang berketurunan Daeng Salili. Beliau 
adalah anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah 
III, beliau datang ke Perak dan dilantik sebagai mufti serta dianugerahkan gelaran “Dato’ Maharaja Lela Tan Lela”, 
dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya. Pandak Lam kemudian mengetuai perjuangan menentang British 
di Perak dan membuat pakatan untuk membunuh James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch), Residen British 
Perak.



UPACARA PENGISYTIHARAAN

Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.
Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.
Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.
Antara kumpulan pengunjung yang tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian putih, topi putih dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian biru muda), Pengakap (dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan hitam, merah dan biru, merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance dan Palang Merah British turut mengambil tempat di sisi stadium manakala kumpulan pancaragam dan pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.
Kemudian, tetamu-temamu kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti ketika dia menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda) yang menggantikan Sultan JohorSultan Perak (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu (berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian emas pucat), Sultan Kedah (berpakaian biru dan perak) Raja Perlis (berpakaian emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, baginda Yang di-Pertuan Agong yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.
Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanweldan mendoakan kejayaan negara ini.
Kemudian, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain atas pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pemasyhuran Kemerdekaan".
Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" sebanyak 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan oleh tokoh agama Islam iaitu Datuk Hassan Azhari sebagai simbolik lahirnya sebuah negara baru dimana Islam, merupakan agama rasmiPersekutuan Tanah Melayu dan tembakan meriam seratus satu das.
Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas diikuti pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan
Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu Elizabeth II ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British yang terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.

TETAMU KEHORMAT

Apabila Tanah Melayu meraikan Hari Kemerdekaannya yang pertama, hotel-hotel baru didirikan di serata Kuala Lumpur untuk menampung delegasi luar yang bakal datang setelah dijemput oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menyaksikan hari bersejarah tersebut.
Barisan pertama perwakilan asing ke Tanah Melayu ialah:
Ketika mendarat di Lapangan Terbang Sungai Besi, tetamu kehormat telah disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald Charles MacGillivray dan Lady MacGillivray, Yang di-Pertuan Agong Tanah Melayu yang pertama, Tuanku Abdul Rahmandiiringi Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, Tunku Abdul Rahman.



Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 telah ditulis dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu yang ditulis dalam Jawi dan bahasa Inggeris.

Versi Rumi Bahasa Melayu

Pemasyhuran kemerdekaan
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasul-Nya.
Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.
Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queendengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu JohorPahangNegeri SembilanSelangor,KedahPerlisKelantanTerengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogostahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.
Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.
Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak yang tersebut, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan segala peranjian yang lain yang ada sekarang antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ataupun salah seorang daripada baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa dan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhannya adalah tamat dengan sendirinya.
Dan bahawasanya kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-Negeri Melayu telah meluluskannya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.
Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.
Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.
Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakah oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.
Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.

VERSI JAWI


 ڤمشهورن كمرديكأن
دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مڠاسيهاني، سڬالا ڤوجي باڬي الله يڠ مها بركواس دان صلوات دان سلام ك اتس سكالين رسول-ڽ.
بهاواسڽ كران تله تيباله ماسڽ باڬي اومت ڤرسكوتوان تانه ملايو اين منچاڤأي تارف سواتو بڠسا يڠ مرديك لاڬي بردولت سام ستيمڤل كدودوكنڽ دڠن سڬالا بڠسا سلوروه دنيا.
دان بهاواسڽ كران دڠن ڤرجنجين يڠ دسبوت نامڽ ڤرجنجين تانه ملايو تاهون 1957 يڠ دڤربوات انتارا دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين دڠن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج ملايو، مك، تله دڤرستوجوي بهاوا نڬري-نڬري ملايو، ايايت جوهر، ڤهڠ، نڬري سمبيلن، سلاڠور، قدح، ڤرليس، كلنتن، ترڠڬانو، دان ڤراق سرتا نڬري يڠ دهولوڽ ديناماكن نڬري سلت، ايايت ملاك دان ڤولاو ڤينڠ، مولاي 31 هاري بولن اوڬوس تاهون 1957، هندقله منجادي سبواه ڤرسكوتوان بهارو باڬي نڬري-نڬري يڠ برنام ڤرسكوتوان تانه ملايو.
دان بهاواسڽ كران تله برستوجو ڤولا انتارا كدوا-دوا ڤيهق دالم ڤرجنجين ترسبوت، ايايت ملاك دان ڤولاو ڤينڠ هندقله درڤد تاريخ ترسبوت ايت تمت درڤد منجادي سباهاڬين درڤد ججاهن تعلوق بڬيندا قوين، دان دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين تيدق لاڬي برحق منجالنكن اڤا٢ كدولتن بڬيندا ك اتس كدوا-دوا بواه نڬري يڠ ترسبوت ايت.
دان بهاواسڽ كران تله برستوجو ڤولا انتارا كدوا-دوا ڤيهق يڠ ترسبوت، ايايت ڤرجنجين ڤرسكوتوان تانه ملايو تاهون 1948، دان سڬالا ڤرانجين يڠ لاين يڠ اد سكارڠ انتارا دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين دڠن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج اتاوڤون ساله سأورڠ درڤد بڬيندا ايت سبلوم تاريخ يڠ ترسبوت هندقله دبطلكن مولاي درڤد تاريخ ايت، دان سموا كوات كواس دان حق دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين اتاوڤون ڤرليمين نڬري اونيتد كيڠدوم دالم نڬري-نڬري سلت اتاوڤون ڤرسكوتوان تانه ملايو سلوروهنڽ اداله تمت دڠن سنديريڽ.
دان بهاواسڽ كران دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين، دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج ملايو، ڤرليمين نڬري اونيتد كيڠدوم دان مجليس-مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان دان نڬري-نڬري ملايو تله ملولوسكنڽ، ڤرجنجين ڤرسكوتوان تانه ملايو تاهون 1957 ايت برجالن كوات كواساڽ.
دان بهاواسڽ كران سواتو ڤرلمباڬان باڬي كراجأن ڤرسكوتوان تانه ملايو تله دتنتوكن منجادي سواتو كانون يڠ معتمد باڬيڽ.
دان بهاواسڽ كران ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان يڠ ترسبوت ايت، مك، اد دسدياكن شرط اونتوق منجاڬ كسلامتن حق-حق دان كاوتامأن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج سرتا حق-حق اساسي دان كبيبسن سكالين رعيت دان اونتوق مماجوكن ڤرسكوتوان تانه ملايو دڠن امان دان داماي سرتا تراتور سباڬاي سبواه كراجأن يڠ ممڤوڽاءي راج يڠ برڤرلمباڬان يڠ برداسركن ديموكراسي چارا ڤرليمين.
دان بهاواسڽ كران ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان يڠ داداكن اوليه مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان يڠ ترسبوت ايت تله دلولوسكن اوليه سواتو اوندڠ-اوندڠ يڠ داداكه اوليه مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان سرتا دڠن اوندڠ-اوندڠ يڠ داداكن اوليه نڬري-نڬري ملايو دان دڠن كتتڤن-كتتڤن دالم مجليس اوندڠن نڬري ملاك دان ڤولاو ڤينڠ، دڠن دمكين ڤرلمباڬان ايت تله برجالن كوات كواساڽ ڤد 31 هاري بولن اوڬوس تاهون 1957.
مك، دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مها مڠاسيهاني، ساي تونكو عبدالرحمن ڤوترا ابن المرحوم سلطان عبدالحميد حاليم شه، ڤردان منتري باڬي ڤرسكوتوان تانه ملايو، دڠن ڤرستوجوان دان ڤركنن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج نڬري-نڬري ملايو دڠن اين ممشهوركن دان مڠيشتهاركن باڬي ڤيهق اومت ڤرسكوتوان تانه ملايو بهاوا مولاي تيڬ ڤولوه ساتو هاري بولن اوڬوس تاهون سريبو سمبيلن راتوس ليما ڤولوه توجوه، مك ڤرسكوتوان تانه ملايو يڠ مڠاندوڠي نڬري جوهر، ڤهڠ، نڬري سمبيلن، سلاڠور، قدح، ڤرليس، كلنتن، ترڠڬانو، ڤراق، ملاك دان ڤولاو ڤينڠ دڠن ليمڤه رحمة الله سبحانه وتعالى اكن ككل منجادي سبواه نڬارا يڠ مرديك دان بردولت سرتا برداسركن كبيبسن دان كعاديلن دان سنتياس منجاڬ دان مڠوتاماكن كسجهترأن دان كسنتوسان رعيتڽ دان مڠكلكن كامانن انتارا سڬالا بڠسا.
UNTUK MENGETAHUI LEBIH LANJUT TENTANG TOKOH KEMERDEKAAN SILA KLIK PADA WEBSITE DIBAWAH.








GETIR PERJUANGAN KEMERDEKAAN MALAYSIA

Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 merupakan saat bermulanya penentangan orang Melayu terhadap penjajahan kuasa luar.  Selepas Belanda mengalahkan Portugis dan menduduki Melaka pada tahun 1641, perjuangan menentang penjajah oleh pemerintah dan rakyat tempatan berterusan seperti yang berlaku di Naning, Kuala Perak, Riau dan Kuala Selangor. Pada ketika ini, lahirlah tokoh seperti Raja Haji yang bangun berjuang dalam tahun 1784 menentang Belanda sehingga beliau akhirnya terkorban di Telok Ketapang.
Kehadiran British ke Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1786 telah menyemarakkan lagi usaha penentangan orang Melayu terhadap penjajah terutama apabila British mula mencampuri urusan pentadbiran tempatan. Penentangan bukan sahaja berlaku di Semenanjung Tanah Melayu malah juga di Sabah dan Sarawak. Kebangkitan gerakan anti-British memperlihatkan gelombang penentangan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh tempatan seperti Penghulu Dol Said di Naning, Datuk Siamang Gagap di Seri Menanti dan Yamtuan Tunku Antah di Sungai Ujong, Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor dan Sultan Abdullah di Perak, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Raja Mahadi di Selangor, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Moris, Tunku Kudin dan Tunku Muhammad Saad di Kedah, Rentap, Roslie Dhoby dan Sharif Mashor di Sarawak serta Mat Salleh, Antanum, Pak Musa dan Syarip Usman di Sabah. Walaupun penentangan mereka berakhir dengan kegagalan namun semangat juang mereka untuk mengembalikan hak dan kedaulatan tanah air wajar disanjung.
Gelombang pertama seawal abad ke-20 menyaksikan pertukaran wacana penentangan terhadap kuasa asing dengan menggunakan mata pena. Arus kebangkitan nasionalisme pada peringkat awal dipelopori oleh tokoh-tokoh lepasan pengajian tinggi di Timur Tengah sekitar abad ke-20. Antaranya, Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Al-Hadi, Sheik Muhammad Akil, Sheikh Awad Saidin dan Haji Abas Taha. Pelbagai akhbar dan majalah seperti Al-Imam, Neracha, Warta Malaya, Al-Ikhwan, Saudara dan lain-lain telah diterbitkan.
Kemunculan tokoh-tokoh agama ini diikuti pula oleh beberapa orang tokoh dari kalangan guru, wartawan serta pejuang bahasa dan sastera seperti Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), Harun Muhammad Amin, Abdul Hadi bin Hassan, Burhanuddin Al-Helmi dan Abdul Rahim Kajai. Dalam perkembangan seterusnya menyaksikan beberapa buah parti politik dan persatuan yang ditubuhkan bagi melahirkan gerakan penentangan yang lebih bersepadu.
Serangan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada bulan Disember 1941 dan pendudukan Jepun secara keseluruhannya di Tanah Melayu bermula Februari 1942 hingga September 1945 telah meninggalkan kesan dan pengalaman yang pahit kepada seluruh penduduk di negara ini. Mereka menjadi lebih peka dan sedar terhadap persekitaran dan perkembangan yang berlaku. Jepun turut menyemaikan semangat nasionalisme di kalangan penduduk Tanah Melayu supaya membenci British melalui cerapan ideologi ’Asia Untuk Asia’.

Arus kebangkitan semangat nasionalisme peringkat kedua telah diperlihatkan melalui gerakan penentangan hebat terhadap Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada 1 April 1946 setelah British mengambil alih semula pentadbiran Tanah Melayu dari tangan Jepun. Penubuhan PEKEMBAR (UMNO) pada 11 Mei 1946 menggabungkan suara pertubuhan-pertubuhan Melayu untuk bangkit menentang Malayan Union. Penentangan secara bersepadu ini telah membuahkan hasil apabila Malayan Union dibubarkan. Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan pada 1 Februari 1948.
Perubahan pucuk pimpinan UMNO dari Dato’ Onn kepada Tunku Abdul Rahman
dilihat sebagai permulaan arus kebangkitan nasionalisme peringkat ketiga iaitu perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Serentak itu, slogan ’Hidup Melayu’ diubah kepada ’Merdeka’ sesuai dengan perubahan matlamat perjuangan UMNO. Sebagaimana ucapan Tunku Abdul Rahman Putra di Persidangan Agong Pemuda UMNO pada 3 April 1953,”cogan Hidup Melayu bermakna kita sedia duduk di bawah naungan British dan berjuang untuk menyelamatkan kedudukan bangsa kita serta merebut kelebihan bangsa kita dengan belas rahim British. Tetapi slogan Merdeka itu bermakna kita bebaskan diri kita dari naungan British dan berdiri di atas kaki kita sendiri. Bagi menyelamat dan mendapatkan kelebihan-kelebihan untuk bangsa kita, terpulanglah kepada kita sendiri dan tidak lagi berharapkan belas rahim British lagi”.
Perjuangan menuntut kemerdekaan diperteguhkan dengan permuafakatan melalui PERIKATAN di antara orang-orang Melayu, Cina dan India di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman. Paduan tenaga setiap golongan masyarakat dalam ruang lingkup yang tersendiri seperti guru, wartawan dan penulis, ahli-ahli politik dan juga pihak istana semakin membakar semangat dan memperteguhkan lagi tekad untuk segera mendapatkan kemerdekaan bagi negara ini.
Berbekalkan perpaduan suara rakyat dan desakan-desakan para pejuang maka pada awal tahun 1956, rombongan merdeka yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra telah berangkat ke London bagi mengadakan  rundingan dengan pihak British. Rundingan ini membawa kepada termeterainya perjanjian kemerdekaan Tanah Melayu pada 8 Februari 1956. Kepulangan rombongan ini disambut meriah di Melaka. Padang Banda Hilir, Melaka menjadi saksi pada 20 Februari 1956 apabila Tunku mengisytiharkan Tanah Melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957. Kemerdekaan negara amat unik kerana ia dicapai melalui meja rundingan tanpa melibatkan penumpahan darah.
Nyatalah, kemerdekaan yang dikecapi kini perlu dipertahankan kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Perjuangan menuntut kemerdekaan negara terpaksa melalui ranjau penuh duri dalam tempoh yang amat panjang. Justeru, semangat dan pengorbanan para pejuang lalu perlu dijadikan wadah untuk kita menghadapi cabaran mendatang demi mengekalkan maruah dan kedaulatan negara tercinta.








UNTUK MAKLUMAT LEBIH LANJUT TENTANG BENDERA, BANNER, LAMBANG, LAGU KEBANGSAAN DAN LAGU-LAGU KEBESARAN NEGERI-NEGERI DI MALAYSIA SILA KLIK PADA WEBSITE DIBAWAH:






PERBANDINGAN MALAYSIA ANTARA DULU DENGAN SEKARANG

WANG/ SYILING PADA ZAMAN DAHULU


             




               



WANG/ SYILING PADA ZAMAN KINI


        



   




 PERBANDINGAN ANTARA PEJABAT POS DAHULU DENGAN SEKARANG





PERBANDINGAN ANTARA STESEN KERETA API JALAN SULTAN DAHULU DENGAN SEKARANG


                       



PERBANDINGAN BASIKAL DAHULU DENGAN SEKARANG
      
                           



PERBANDINGAN ANTARA JAM DAHULU DENGAN SEKARANG








PERBANDINGAN ANTARA KERETA DAHULU DENGAN SEKARANG

   
    


 


PERBANDINGAN ANTARA PAKAIAN DAHULU DENGAN SEKARANG




PERBANDINGAN ANTARA TELEFON DAHULU DENGAN SEKARANG




   


KATA-KATA AKHIR


            



Salam Merdeka 1Malaysia. Sudah 56 Tahun Malaysia Merdeka. Sudah 56 kali Tema Kemerdekaan dan Logo Hari Merdeka silih berganti. Sejak kecil hingga kini, sudah berpuluh tahun meraikan Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia. Setiap Tahun juga HTmengenang perjuangan Tokoh Kemerdekaan Negara yang sama dalam puluhan kali. Pejuang Negara Bekorban demi Kemerdekaan, cuba bayangkan penderitaan mereka menentang Inggeris dan Komunis. Dalam puluhan kali juga HT pejamkan mata dan cuba membayangkan penderitaan mereka. Belum sempat membayangkan sepenuhnya, ia terganggu bila disuruh membayangkan penderitaan mereka yang dulu hanya makan ubi kayu. Namun HT tetap mencuba. Drama ini akan berulang dan berterusan beberapa puluh tahun lagi, selagi di Izinkan Allah. Namun setiap puluhan kali  itu jugalah setiap  tahun itu berakhir berakhir dengan kata keramat berikut

"Anak Muda tidak akan faham dan dapat bayangkan penderitaan dan kesengsaraan Generasi lalu memperjuangkan Kemerdekaan. Hanya generasi tua di era perjuangan kemerdekaan saja yang merasakan kesengsaraan ini"




puisi kemerdekaan